1. TUJUAN DAN MATLAMAT

Peraturan ini digubal bagi memastikan kawasan kejiranan DC2 kekal selamat, tersusun dan harmoni, dengan memberi fokus kepada perkara-perkara berikut:

  • Menjaga keselamatan penduduk, pelawat dan pengguna jalan raya.
  • Melancarkan aliran trafik dalam kawasan perumahan.
  • Menjamin akses tanpa halangan ke laluan kecemasan, penyelenggaraan dan perkhidmatan awam.
  • Memelihara kebersihan dan kesejahteraan kawasan kejiranan.
  • Mewujudkan suasana kejiranan yang bertanggungjawab, saling menghormati dan mesra komuniti.

2. LARANGAN PARKIR & HALANGAN:

2.1 Laluan Kecemasan (Pagar DC 2/11 dan 2/15)

  • Kon dan rod penghalang telah diletakkan di kawasan ini.
  • Dilarang sama sekali alihkan kon dan rod penghalang berkenaan untuk meletakkan kenderaan atau sebarang objek.
  • Laluan ini perlu dikosongkan sepanjang masa bagi kegunaan kecemasan.

2.2 Lorong Belakang Rumah

Lorong belakang rumah perlu sentiasa lapang dan tidak terhalang.

Dilarang:
  • Meletak kenderaan.
  • Membina sebarang struktur kekal yang disimen ke laluan.
  • Membina sebarang struktur separa kekal yang sukar untuk dialihkan.
Tujuan Larangan Ini:
  • Memudahkan kerja pembersihan dan penyelenggaraan oleh pihak berkuasa atau kontraktor.
  • Memberi laluan untuk keperluan kecemasan, seperti kebakaran atau bantuan kesihatan.
  • Meningkatkan tahap keselamatan dan mengelakkan aktiviti mencurigakan di lorong yang tertutup atau terselindung.

2.3 Persimpangan Jalan

  • Sebarang kenderaan atau objek dilarang diletakkan dalam jarak sekurang-kurangnya 3 meter dari mana-mana persimpangan jalan bagi memastikan sudut penglihatan yang jelas dan mengurangkan risiko kemalangan.

2.4 Pintu Masuk KAFA

  • Dilarang meletak kenderaan atau objek yang boleh mengganggu akses keluar masuk ke KAFA.
  • Pejabat sekolah masih beroperasi semasa cuti sekolah untuk tujuan pentadbiran, pembaikan dan penyelenggaraan.

3. NOTIS DAN PENGUATKUASAAN

📄 Notis Peringatan

Sekiranya berlaku pelanggaran mana-mana peraturan ini, satu Notis Peringatan akan diletak/tampal pada kenderaan/premis/struktur oleh wakil Persatuan.

Notis Peringatan ini mengandungi:

  • Tarikh & Masa notis dikeluarkan
  • Nombor Notis
  • Nombor Kereta/Rumah
  • Jenis kesalahan
  • Peringatan ke-1, ke-2 atau ke-3

Tempoh Pematuhan

Pemilik diberi tempoh seperti yang tersenarai di bawah untuk sebarang tindakan pematuhan:-

  1. Halangan lalu lintas – 24 jam
  2. Halangan akses keluar masuk taman/rumah – 24 jam
  3. Halangan laluan kecemasan – 24 jam
  4. Letak kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan – 24 jam
  5. Halangan laluan belakang – 3 bulan
  6. Kereta ditinggalkan terlalu lama – 3 bulan
  7. Kenderaan boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk atau haiwan berbahaya – 3 bulan
  8. Struktur kekal di lorong belakang – 6 bulan
  9. Struktur separa kekal di lorong belakang – 3 bulan

Selepas tempoh pematuhan ini tamat, notis kedua dan seterusnya akan dikeluarkan.

⚠️ Tindakan Selanjutnya

Jika notis peringatan ini diabaikan sehingga tamat tempoh pematuhan dan ia merupakan kesalahan kali ke-3:

Pihak Persatuan berhak menyerahkan perkara ini kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan/atau PIHAK BERKUASA YANG LAIN untuk TINDAKAN SELANJUTNYA, tanpa sebarang notis lanjut, selaras dengan bidang kuasa mereka.


4. SALURAN ADUAN

Penduduk boleh salurkan aduan berkaitan kepada:

  • Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  • Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  • Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
  • Persatuan Komuniti DC2 (2024) melalui WhatsApp Admin: 011-6213 0966

5. KOMITMEN PERSATUAN

Pelbagai langkah penambahbaikan telah dirancang dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa, seperti:

  • Mengecat semula garisan jalan, termasuk garisan berhenti dan bonggol, bagi memastikan ia jelas dan berfungsi sebagai penanda keselamatan kepada pemandu.
  • Memasang tiang keselamatan (road bollards) di persimpangan atau kawasan berisiko bagi menghalang parkir liar dan meningkatkan jarak penglihatan.
  • Memasang cermin cembung (convex mirror) di selekoh atau simpang yang mempunyai sudut penglihatan terhad bagi mengurangkan risiko kemalangan.
  • Memasang lampu solar di kawasan yang gelap seperti tepi rumah dan lorong belakang bagi meningkatkan keselamatan dan mencegah aktiviti yang tidak diingini.
  • Melaksanakan audit keselamatan jalan dalaman secara berkala untuk mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian segera atau penambahbaikan tambahan.
  • Berkerjasama dengan MPKS untuk pelaksanaan infrastruktur keselamatan yang melebihi bidang kuasa dan kemampuan Persatuan.
  • Menyediakan saluran aduan kepada penduduk untuk melaporkan isu-isu berkaitan keselamatan, lalulintas, dan infrastruktur kejiranan.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Persatuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, tersusun dan harmoni bagi semua penduduk.


6. PENUTUP

Pematuhan oleh semua penduduk dan pelawat amatlah dihargai bagi memastikan kawasan kediaman kita kekal selesa, tersusun dan sejahtera untuk didiami.

Sebarang pelanggaran yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam akan diambil tindakan sewajarnya, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.

Pihak Persatuan berharap agar segala peraturan yang digariskan ini dapat dipatuhi bersama demi kebaikan bersama.

Sekian, terima kasih.

Persatuan Komuniti DC2 (2024)