Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita masih diberi ruang dan kesempatan untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti kita di DC2. Sebagai Pengerusi Persatuan Komuniti DC2 (2024), saya ingin merakamkan ucapan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua penduduk atas sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada jawatankuasa kami.
Tahun 2024 menyaksikan beberapa inisiatif penting mula dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. Antara yang telah dimulakan ialah projek pemasangan pagar anti-climbing di jalan 2/1, 2/11 dan 2/15, pemasangan kamera CCTV, serta pemasangan cermin cembung di beberapa lokasi strategik untuk meningkatkan pengawasan dan keselamatan lalu lintas dalam kawasan kejiranan kita.
Ini hanyalah permulaan. Banyak lagi projek dan penambahbaikan sedang dirancang oleh pihak jawatankuasa. Namun, perlu kami tegaskan bahawa semua inisiatif ini hanya dapat direalisasikan dengan sokongan padu daripada seluruh komuniti, khususnya melalui kadar kutipan yang memberangsangkan. Tanpa komitmen kewangan yang mencukupi, usaha-usaha ini sukar untuk diteruskan secara berkesan.
Justeru itu, saya menyeru kepada semua penduduk yang masih belum menjadi ahli persatuan untuk mempertimbangkan penyertaan anda. Setiap sen yang disumbangkan, dan setiap suara yang menyertai, membawa makna besar dalam membentuk kejiranan yang lebih selamat, teratur dan harmoni.
Akhir kata, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli dan penyumbang yang telah menunjukkan semangat kejiranan yang tinggi. Semoga usaha kita bersama ini diberkati dan terus dipermudahkan.
Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan amanah,
Mhd Faizul Md Asar
Pengerusi
Persatuan Komuniti DC2 (2024)
